16 OKT: Keputusan UMNO mencalonkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh dipertikaikan lagi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO, itu berkata, jika ada parti pembangkang yang menamakan orang lain selain Ismail Sabri, itu adalah usaha untuk mereka memecahkan UMNO dan BN.
Namun jelasnya, kuasa melantik perdana menteri masih tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Kita hormati kuasa mutlak yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Ahad.
Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai dakwaan pemimpin pembangkang bahawa beliau akan diangkat sebagai perdana menteri jika BN memenangi PRU15.
Beberapa UMNO bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan pada Sabtu dan Ahad turut mengemukakan usul agar Ismail Sabri dicalonkan sebagai perdana menteri jika BN menang pada PRU15.
UMNO Bahagian Padang Terap dan Pontian antara yang meluluskan usul tersebut.