17 OKT : Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan pembelian berterusan di kaunter penjagaan kesihatan dan utiliti terpilih yang meletakkan indeks petunjuk pasaran di wilayah positif, seiring dengan pasaran serantau berikutan pelabur kekal berhati-hati mengenai prospek ekonomi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.80 mata kepada 1,386.27 daripada 1,382.47 ketika ditutup Jumaat.
Indeks barometer itu dibuka 1.03 mata lebih tinggi kepada 1,383.50, seterusnya merosot pada paras rendah 1,376.68 sebelum meraih momentum aliran meningkat sepanjang tengah hari kepada paras tertinggi harian 1,389.21.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 443 berbanding 363, manakala 394 kaunter tidak berubah, 1,145 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 1.98 bilion unit bernilai RM1.49 bilion berbanding 2.25 bilion unit bernilai RM1.76 bilion pada Jumaat.
IHH Healthcare dan Tenaga Nasional adalah penyumbang utama kepada peningkatan FBM KLCI dengan gabungan 3.63 mata, masing-masing pada 14 sen dan 16 sen untuk ditutup kepada RM5.86 dan RM8.19.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata petunjuk pasaran ditutup tinggi berikutan pelabur terus mencari saham berharga rendah berikutan jualan besar-besaran baru-baru ini.
“Indeks utama serantau dalam aliran bercampur-campur berikutan pelabur bimbang mengenai pengetatan mendadak selanjutnya di pasaran kewangan global serta semua risiko berkenaan kemelesetan yang ditimbulkan.
“Dalam pada itu, Presiden China Xi Jinping pada Ahad berkata, Beijing akan meningkatkan perbelanjaan dan rangsangan untuk membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi, yang berpotensi mendorong import minyak mentah yang terjejas akibat kelembapan disebabkan gangguan COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Pak Leng berpendapat belian semasa harga rendah mungkin berlanjutan berikutan indeks petunjuk pasaran yang kekal dalam keadaan terlebih jual.
“Selain itu, sebilangan pelabur dijangka memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI dalam jajaran 1,380-1,400 pada minggu ini. Dari sudut teknikal, kita mungkin dapat menyaksikan paras rintangan serta-merta pada 1,400, manakala paras sokongan pada 1,370,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 7.0 sen kepada RM8.52, Hong Leong Bank menokok 10 sen kepada RM20.60, Petronas Chemicals turun 5.0 sen kepada RM8.50, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.20 dan RM5.30.
Daripada saham aktif, Sunview yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meraih 17 sen kepada 46 sen, Top Glove meningkat 5.0 sen kepada 74 sen, Careplus naik 9.5 sen kepada 41.5 sen dan Supermax bertambah 8.0 sen kepada 90.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 5.74 mata kepada 9,864.06, FBM 70 turun 72.16 mata kepada 11,832.54 dan Indeks FBMT 100 meraih 6.37 mata kepada 9,613.83.
Indeks FBM Emas Syariah susut 1.65 mata kepada 9,853.14 dan FBM ACE menokok 29.67 mata kepada 4,681.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 42.42 mata kepada 15,915.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.33 mata kepada 169.55, Indeks Perladangan menguncup 16.41 mata kepada 6,405.46, manakala Indeks Tenaga berkurangan 3.65 mata kepada 665.04.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.16 bilion saham bernilai RM1.22 bilion daripada 1.41 bilion saham bernilai RM1.53 bilion pada Jumaat lalu.
Jumlah dagangan waran susut kepada 269.20 juta unit bernilai RM44.36 juta berbanding 382.09 juta unit bernilai RM53.67 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 546.11 juta saham bernilai RM219.47 juta berbanding 465.02 juta saham bernilai RM173.42 juta pada Jumaat.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 156.42 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (296.55 juta), pembinaan (45.81 juta), teknologi (93.89 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (48.72 juta), hartanah (74.89 juta), perladangan (14.69 juta), REIT (6.14 juta), dana tertutup (500), tenaga (87.22 juta), penjagaan kesihatan (277.01 juta), telekomunikasi dan media (22.63 juta), pengangkutan dan logistik (22.24 juta) dan utiliti (12.60 juta).-BERNAMA