18 OKT : Biarpun kerajaan kini adalah kerajaan sementara atau caretaker berikutan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lepas, namun Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih lagi berfungsi seperti biasa.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pasukan itu juga tidak dibubarkan kerana masalah berkaitan inflasi masih lagi menjadi tanggungjawab kerajaan ketika ini.
“Pasukan ini tidak dibubarkan sebab inflasi dan masalah itu sentiasa ada dan ia terus menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memantau walaupun dalam bentuk caretaker,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Jun lepas mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Annuar bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Pasukan itu turut dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Zuki pada 10 Oktober lepas dilaporkan berkata Kabinet yang diterajui Ismail Sabri berfungsi sebagai kerajaan caretaker dengan mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen dibubarkan.
Annuar berkata Pasukan Jihad Tangani Inflasi itu masih lagi bermesyuarat setiap awal bulan bagi menentukan harga siling minyak masak sawit botol berdasarkan kadar harga minyak sawit mentah (CPO).
“Kita sepatutnya bersidang dua kali seminggu tapi kita beri peluang kepada wakil rakyat yang ‘terkejut’ dengan pembubaran Parlimen untuk cepat-cepat balik bagi melihat persiapan di kawasan masing-masing.
“Sebab itu kita belum adakan mesyuarat untuk minggu ini tapi mungkin kita perlu adakan mesyuarat pada minggu hadapan,” katanya.
Mengenai keberadaan bekalan ayam dan telur di pasaran, beliau berkata perkara itu masih dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Mengenai Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Annuar mahu proses pengagihan peranti kepada pelajar layak dipercepatkan.
“Saya mahu peranti ini diagihkan segera dan ia tidak perlu ada di dalam stor lama-lama…pembekal perlu tambah petugas mereka dan all out di pusat pengagihan. Ini bagi memastikan peranti sampai kepada mahasiswa dalam masa yang cepat,” katanya.
Semalam, Annuar memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited menyegerakan pengagihan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada 279,188 pemohon yang telah diluluskan menjelang akhir bulan ini.
Sehingga kini, sebanyak 474,311 permohonan untuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima melibatkan 95,882 bagi fasa pertama dan 378,429 untuk fasa kedua.