19 OKT : Petugas media di negara ini diingatkan supaya melaporkan berita secara bertanggungjawab tanpa melanggar etika dan undang-undang yang berkaitan sepanjang membuat liputan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata penyampaian maklumat yang cepat, tepat serta difahami rakyat adalah sebahagian daripada pendekatan menjayakan proses demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Dalam saat begini, banyak juga pemberitaan yang akan melanggar etika tertentu dan menggunakan kesempatan untuk membuat hasutan dan sebagainya… peringatan yang hendak kita diberikan ialah sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang dalam suasana kebebasan media, jangan melanggari mana-mana peraturan serta undang-undang sedia ada.
“Ini kerana walaupun dalam keadaan musim pilihan raya dan kerajaan sementara namun kedaulatan undang-undang masih perlu dijunjung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada petugas media Radio Televisyen Malaysia yang akan bertugas pada PRU15 di sini hari ini.
Beliau turut menasihati semua petugas media agar mematuhi peraturan dan undang-undang serta memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia sepanjang musim PRU15.
Mengenai liputan PRU15, Annuar berkata media luar juga akan diberi peluang untuk membuat liputan dan menyampaikan laporan berlandaskan tahap profesionalisme yang tinggi.
“Kita akan mudahkan seberapa boleh bagi semua warga media, baik elektronik, cetak dan juga media sosial asalkan pelaporan itu adalah pelaporan yang cukup bertangggungjawab,” katanya.