20 OKT : Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara pada Rabu meningkat kepada 2,295 kes, berbanding 1,873 kes yang dilaporkan pada hari sebelumnya.
Menurut data di portal KKMNOW, kes aktif COVID-19 dalam negara kini berjumlah 24,331 kes dengan 95.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Manakala seramai 1,072 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 33 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi manakala 11 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).
Sementara itu, tiga kes kematian dicatat semalam, satu kes kematian dilaporkan berlaku di luar fasiliti kesihatan, ‘brought-in-dead’ (BID).