20 OKT : Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan pemimpin parti itu akan bekerja untuk rakyat sepanjang tempoh mandat diberikan dan sentiasa turun padang, bukan hanya boleh ditemui pengundi ketika kempen pilihan raya sahaja.
Ketua WHIP Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan berkata, GPS juga sudah bersiap sedia dan akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Sarawak dengan perjuangan “Sarawak First”
“Saya juga percaya kesemua parti yang akan bertanding telah bersiap sedia dan sudah
turun ke akar umbi dari awal lagi, memandangkan pilihan raya kali ini memang sudah dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“Bahkan saya percaya bakal calon untuk setiap kawasan pilihan raya sudah pun mula
menggerakkan aktiviti turun padang sejak awal lagi.
“Pada zaman teknologi maklumat
(IT) dan sebaran informasi ini juga setiap calon dan parti tentunya banyak menggunakan platfomm media sosial untuk berkempen dengan banyak maklumat boleh disampaikan kepada pengundi dalam sekelip mata,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata tempoh kempen selama 14 hari adalah memadai bagi semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menyebarkan maklumat kepada pengundi.
“Dengan pemilihan hari Sabtu sebagai hari mengundi adalah diharapkan peratusan
pemilih berdaftar yang keluar mengundi akan lebih ramai.
“Ini kerana pada hari Sabtu majoriti rakyat di segenap lapisan masyarakat dan di setiap pelusuk negara mempunyai lebih kelapangan untuk keluar mengundi dengan selesa,” ujarnya.
Justeru beliau berharap supaya semua parti dan calon yang akan bertanding serta jentera semua parti, mematuhi segala garis panduan dan undang-undang SPR bagi memastikan proses PRU15 dapat berjalan lancar.
“Semoga sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU15 demi rakyat dan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.