Agenda literasi digital hanya jadi kenyataan jika BN jadi kerajaan
22 OKT : Agenda literasi digital hanya mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika rakyat memilihnya dan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana Kerajaan BN sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia, terutamanya ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0
Katanya lagi, oleh sebab itu rakyat Malaysia diharap dapat membuat penilaian tepat, dan mengundi BN kembali pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang jatuh pada 19 November ini.
“Agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika saya menerajui semula Kerajaan.
“Saya berharap anda semua mampu membuat penilaian yang tepat dan mengundi semula Kerajaan saya pada 19 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan YAB Perdana Menteri Dan Penyerahan Komputer #thetaCares, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini pada Sabtu.
Kata Perdana Menteri lagi, penguasaan literasi digital penting bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, internet pelbagai benda (IoT), analisis dan data raya, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
“Literasi digital yang kita miliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, bahkan ketika itu pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.
“Ini kerana dalam revolusi industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia,” ujarnya.
Kerajaan hari ini menurut beliau sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi.
Jelasnya antara insiatif itu ialah lanjutan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 sehingga April 2023, Inisiatif e-Pemula RM200 untuk belia dan pelajar sepenuh masa serta RM100 kepada kumpulan M40.
Selain itu beliau berkata, Kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.
Di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 pula, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk.
Turut tersenarai, pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih 60,000 penduduk luar bandar, dan Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah.