25 OKT : Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa selepas mencatatkan prestasi meningkat selama enam hari berturut-turut, berikutan pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi didahului saham Petronas Chemicals dan Public Bank.
Kenaikan ketara dalam Axiata dan CIMB bagaimanapun membantu mengekang aliran turun selanjutnya dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang berakhir 2.01 mata lebih rendah kepada 1,444.41 berbanding penutupan Jumaat pada 1,446.42.
Indeks barometer itu dibuka 2.72 mata lebih tinggi kepada 1,449.14 sebelum bergerak di antara 1,441.19 dengan 1,454.06 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 445 berbanding 420, manakala 384 kaunter tidak berubah, 1,103 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.26 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 2.04 bilion unit bernilai RM1.51 bilion pada Jumaat minggu lalu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata prestasi pasaran tempatan juga seiring dengan pasaran serantau memandangkan pelabur kekal berhati-hati mengenai prospek kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu depan.
Fed akan mengadakan mesyuarat pada 1 dan 2 November 2022 dengan pelabur berharap bank pusat itu akan memperlahankan kenaikan kadar faedah seawal Disember.
Terdahulu, ekuiti global dikejutkan buat sementara waktu oleh kemerosotan yang dialami pasaran saham dan mata wang China apabila pelabur menjual aset China secara besar-besaran dalam situasi kebimbangan mengenai hala tuju ekonomi yang ditentukan oleh pasukan kepimpinan baharu Presiden China, Xi Jinping.
“Di peringkat tempatan, kami mengekalkan pandangan optimis yang berhati-hati kerana kami menjangkakan sentimen pelabur kekal positif memandangkan ekonomi tempatan yang semakin baik.
“Kami juga mengunjurkan FBM KLCI berada pada aliran lebih tinggi dalam julat 1,440 hingga 1,460 minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 16 sen kepada RM8.84, manakala Public Bank kurang lima sen kepada RM4.45, Petronas Gas merosot 24 sen kepada RM16.96, Tenaga Nasional turun lapan sen kepada RM8.25, dan Petronas Dagangan menguncup 42 sen kepada RM20.88.
Axiata, CIMB dan Maybank masing-masing kekal tinggi apabila menokok 14 sen, enam sen dan dua sen kepada RM2.74, RM5.59 dan RM8.68.
Daripada saham aktif, Eduspec dan Vinvest masing-masing susut setengah sen kepada 1.5 sen dan 21.5 sen, manakala Widad turun satu sen kepada 47 sen.
MyEG tidak berubah pada 83 sen manakala Advance Synergy naik setengah sen kepada 7.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.49 mata kepada 10,228.39; FBM 70 meningkat 78.76 mata kepada 12,107.39 dan Indeks FBMT 100 menambah 4.36 mata kepada 9,974.82.
Indeks FBM Emas Syariah menokok 14.72 mata kepada 10,212.12 dan FBM ACE naik 29.33 mata kepada 4,830.60.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.91 mata kepada 16,505.17 dan Indeks Tenaga turun 1.19 mata kepada 678.36.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.67 mata kepada 175.09 dan Indeks Perladangan kurang 15.19 mata kepada 6,792.08.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.25 bilion saham bernilai RM1.49 bilion daripada 1.26 bilion saham bernilai RM1.31 bilion pada Jumaat minggu lalu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 431.82 juta unit bernilai RM71.87 juta daripada 252.91 juta unit bernilai RM41.86 juta minggu lalu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 575.24 juta saham bernilai RM200.29 juta daripada 523.30 juta saham bernilai RM162.39 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 229.51 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (311.81 juta), pembinaan (35.16 juta), teknologi (149.07 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (81.41 juta), hartanah (140.53 juta), perladangan (32.62 juta), REIT (5.2 juta), dana tertutup (80,600), tenaga (77.76 juta), penjagaan kesihatan (102.79 juta), telekomunikasi dan media (42.24 juta), pengangkutan dan logistik (33.84 juta) serta utiliti (12.19 juta). – BERNAMA