25 OKT : Taufan Sitrang yang membadai Bangladesh menyebabkan 16 orang maut manakala kira-kira sejuta penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka.
Kejadian itu juga mengakibatkan kira-kira 10 juta penduduk terputus bekalan elektrik di sejumlah daerah pesisir, manakala banyak sekolah ditutup.
Meskipun berdepan cabaran mengejar masa, pihak berkuasa sempat memindahkan kira-kira sejuta penduduk sebelum taufan itu melanda selatan Bangladesh, lewat semalam.
Pegawai kerajaan, Jebun Nahar, berkata seramai 14 mangsa terkorban dengan kebanyakannya akibat ditimpa pokok tumbang, manakala dua lagi maut apabila sebuah bot karam di Sungai Jamuna di bahagian utara susulan cuaca buruk.
“Kami belum menerima semua laporan kerosakan, setakat ini,” katanya kepada AFP.
Dalam pada itu, lapan mangsa dilaporkan hilang, semalam, apabila sebuah bot karam dipukul ombak besar serta ribut pada lewat malam di Teluk Benggala berhampiran Mirsarai, kata ketua jabatan bomba dan penyelamat wilayah terbabit, Abdullah Pasha.