26 OKT : 30 kru filem yang terperangkap di dalam Gua Tempurung, Gopeng telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Jelasnya, kesemua mangsa yang terlibat adalah kru pengambaran filem sebuah syarikat dari Singapura yang sedang menjalankan kerja-kerja penggambaran.
“Jumlah kru yang terlibat seramai 80 orang dan yang terperangkap seramai 30 orang warga tempatan dan warganegara Singapura,” katanya dalam kenyataan tersebut malam ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.10 petang yang memaklumkan ada orang awam terperangkap di bahagian belakang Gua Tempurung disebabkan paras air meningkat.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang berterusan sejak kira-kira jam 3 petang.
“Kesemua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman air lebih kurang 1.5 meter,” ujarnya.
Katanya, pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bersama polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
Menurutnya, kesemua mereka berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6.10 petang.