30 OKT: Nasib pekebun kecil getah terus mendapat perhatian kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang disalurkan.
Sebagai anak penoreh getah, sudah tentu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob begitu memahami denyut nadi pekebun getah.
Di bawah pemerintahannya, kerajaan menyalurkan peruntukan lebih besar kepada pekebun kecil sebanyak RM600 juta tahun ini berbanding RM508 juta yang disalurkan tahun lepas.
Antaranya, RM4.81 juta diperuntukkan bagi memperkasa Program Pembangunan Usahawan di Pahang dan RM31.1 juta bagi memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) untuk mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg/ hektar/tahun.
Malah melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion kepada sektor komoditi yang turut melibatkan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.
Melalui RISDA pelbagai program dirangka termasuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua sebanyak RM315 juta yang memberi manfaat kepada 387,000 pekebun kecil.
Selain itu, sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama-sama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.
Malah Skim Perlindungan Pertanian akan turut diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.
Sementara bagi orang Asli di Bera, Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli akan dilaksanakan merangkumi kerja- kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.
Pekebun kecil bakal menerima manfaat ini apabila Belanjawan 2023 dibentangkan semula kelak.
Sudah tentu pekebun getah menanti pelbagai manfaat lain selepas agak tertekan ketika Pakatan Harapan mentadbir dahulu apabila banyak bantuan kepada pekebun, petani dan nelayan dikurangkan. Oleh NUR EISYA