31 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah di atas tragedi rempuhan yang berlaku ketika sambutan Halloween di Itaewon, Korea yang mengorbankan 146 nyawa.
Katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, beliau mewakili kerajaan Malaysia melahirkan rasa sedih di atas tragedi yang berlaku.
“Saya mewakili kerajaan Malaysia dan rakyat di negara ini menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya.
Sekurang-kurangnya 146 orang dilaporkan maut dan manakala lebih 150 orang lagi cedera dalam insiden rempuhan ketika sambutan Halloween pada Sabtu.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan besar pengunjung terjatuh ketika melalui sebuah lorong sempit sekaligus mencetuskan panik.
Pihak berkuasa Korea Selatan melaporkan puluhan pengunjung turut mengalami serangan jantung akibat insiden itu.
Mangsa yang cedera termasuk pelancong asing telah dibawa ke hospital berhampiran untuk dirawat.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian.