2 NOV: Kemenangan perlu menjadi fokus Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini dengan tidak memperbesar masalah-masalah lain.
Mengakui terdapat cabaran yang perlu dilalui apabila beberapa nama penyandang digugurkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka perlu membantu kemenangan calon di kawasan mereka sebaik tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon Sabtu ini.
“Tidak dicalonkan bukan bermakna mereka tidak ada peranan dan sumbangan kepada parti. Ia boleh dilakukan mengikut kebijaksanaan masing-masing dengan memikirkan kesan jangka panjang.
“Jawapan terletak kepada mereka. Hanya pada kali ini mereka tidak menjadi calon bukan bermakna mereka tidak boleh berkhidmat kepada parti,” katanya yang juga merupakan calon Parlimen Kota Tinggi, Johor.
Penyandang kerusi parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) antara yang tidak dicalonkan pada PRU15 ini.
Demikian juga dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak tersenarai di Tanjong Karang; Mastura Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Seri Halimah Sadique (Kota Tinggi) dan Datuk Seri Ismail Mutalib (Maran).
Khaled berkata, BN khususnya UMNO benar-benar berusaha dalam PRU kali ini untuk tidak menolak perubahan.
“UMNO telah kemukakan barisan (calon) yang berpengalaman, bertenaga dan mempunyai idea. Ini semua kriteria yang sangat diperlukan untuk berhadapan keadaan ekonomi tidak menentu yang dijangka teruk atau menyusut tahun depan.
“Kita BN masuk sebagai satu barisan dan tidak bergantung kepada satu-satu individu, sebaliknya merupakan satu kumpulan calon PRU yang berpengalaman,” katanya.
Menurut Khaled, keputusan UMNO bertanding di lebih 120 kerusi Parlimen melebihi daripada parti-parti komponen yang lain khususnya MCA dan MIC turut mencerminkan faktor kestabilan yang dibentuk menerusi parti dominan.
“Kita sudah lalui kerajaan yang dibentuk atas perkongsian kuasa daripada wakil-wakil rakyat yang sama jumlah bilangannya (daripada parti-parti yang berbeza). Ini punca ketidakstabilan.
“(Namun) bila kerajaan itu ada parti dominan, ia stabil dan menang. Dan hari ini pula semua parti memerlukan calon-calon mereka menandatangani janji dan ikrar untuk mematuhi segala keputusan dan arahan parti…PKR, DAP pun begitu.
“Ia hasil pengalaman berlaku lompat melompat wakil-wakil rakyat yang menganggap mereka lebih besar dari parti. Malah ada mengatakan kerajaan itu adalah `kerajaan ahli parlimen’.
“Jadi, usaha kita sekarang adalah untuk mengukuhkan kedudukan parti (BN)…ini bukan untuk kepentingan mana-mana pihak. Jangan nanti ada lagi ahli-ahli parlimen (yang setelah menang PRU) menawar diri pergi ke parti lain.” ujarnya.