3 NOV : Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) hari ini mengesahkan beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Shahidan berkata, keputusan itu dibuat kerana melihat PN boleh menjadi platform yang mampu menyatukan UMNO, PAS dan BERSATU.
“Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan UMNO, PAS dan BERSATU yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara walaupun UMNO pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian terutama di Arau.
“Jadi kalau perkiraan ini diambil untuk menjadi pemimpin, saya kira tak layaklah kerana saya sudah menjadi pengarah pilihan raya sebanyak lima kali dan kami tidak pernah ganggu bahagian masing-masing.
“Tetapi calon (UMNO/BN) yang bertanding kali ini sangat menyedihkan apabila tiada satu senarai calon yang dikemukakan oleh bahagian dipilih,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Datuk Seri Shahidan Kassim di Kubang Gajah, Arau hari ini.
Sementara itu Penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib juga disahkan bertanding di atas tiket Perikatan Nasional.
Abdul Muttalib sebelum ini menang di Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (PAS) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR).