5 NOV : Ribuan para penyokong Barisan Nasional (BN) hadir di Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap pagi tadi bagi memberi sokongan kepada calon BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Naib Presiden UMNO itu dilihat tampil segak mengenakan baju Melayu berwarna biru menunggu bersama para penyokong sebelum berarak ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah pada jam 8.20 pagi.
Sebelum berarak bacaan doa juga turut dilakukan oleh imam Masjid Kuala Nerang sebagai memberkati perjalanan penamaan calon hari ini.
Laungan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW juga turut kedengaran sepanjang ke pusat penamaan serta nyanyian lagu Inilah Barisan Kita sebagai pembakar semangat.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada semalam mengingatkan semua parti politik untuk mematuhi peraturan terkini yang ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa hadir ke pusat penamaan calon.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata parti politik terutama pencadang dan penyokong yang berarak, perlu mematuhi peraturan supaya proses penamaan calon berjalan lancar.
Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan semula dengan SPR menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.