5 NOV: Menang di Parlimen Bera dan pastikan Barisan Nasional (BN) cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Pusat.
Itu fokus utama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berdepan saingan tiga penjuru di Bera pada pilihan raya umum ke 15 (PRU15) kali ini.
Menjawab soalan media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Ismail Sabri berkata, tidak guna beliau menang di Bera tetapi tidak boleh bentuk kerajaan.
“Tak kan nak jadi pembangkang lagi…yang penting menang dan rakyat bersama kita,” katanya.
Malah tegasnya, mood pengundi Cina yang ditunjukkan kebelakangan ini juga luar biasa dan berharap diterjemahkan dengan menyokong BN.
Menurut Naib Presiden UMNO itu, tidak ada lagi istilah menang mudah atau rasa selesa kerana setiap calon parti yang bertanding ada kekuatan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau dan BN mempunyai keyakinan boleh mendominasi kerusi di Parlimen apatah lagi dengan solidariti mereka yang tidak dicalonkan tetapi masih terus bersama parti termasuk membantu calon baharu menggantikan mereka.
“Saya tahu ada yang kecewa dan tidak puashati. Mereka tidak boleh salahkan sesiapa dan yang bertanding tujuannya adalah memastikan BN menang.”
“Sebab itu mereka bertanding atas lambang parti. Seperti di Bera bukan Ismail Sabri bertanding tetapi BN” ujarnya.
Menurutnya, beliau memahami perasan rakan-rakan yang tidak dicalonkan tetapi gembira melihat mereka kembali untuk pastikan BN menang.
Dalam pada itu itu, Ismail Sabri menegaskan bahawa beliau masih Poster Boy bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri kerana tidak ada sebarang keputusan membatalkan apa diputuskan Majlis Tertinggi UMNO dan 156 Bahagian UMNO dalam perhimpunan baru-baru ini meluluskan usul memilihnya berhubung calon Perdana Menteri tersebut.
Sementara itu beliau turut menasihati semua parti yang bertanding bersikap matang berpolitik dengan mengelak provoksi dan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.
Ismail Sabri akan ditentang calon Perikatan Nasional Datuk Asmawi Harun dan calon PH Abas Awang.
– Oleh ROSLAN BIAN