6 NOV: Tiada sebarang masalah antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata pelbagai desas-desus yang tersebar mengatakan kedua-dua pemimpin itu bermasalah sekadar mainan pihak ketiga.
“Sudah beberapa kali kita ulang-ulang, tonton bagaimana ucapan Datuk Seri Ismail Sabri. Beliau kata hubungannya dengan Presiden (Ahmad Zahid) amat baik, tiada masalah.
“Tapi pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan. Jadi kita rasa tiada masalah antara Presiden dengan Perdana Menteri.
“Parti sudah membuat keputusan melalui Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), yang terbaharu 158 Bahagian membuat usul bahawa calon perdana menteri PRU15 adalah Datuk Seri Ismail Sabri. Selesai,” kata calon Parlimen Kuala Krau itu kepada BBCPORTAL.
Sentimen berkait pemilihan calon perdana menteri dalam kalangan BN itu kerap dimainkan pelbagai pihak bagi menunjukkan ketidakharmonian dalam UMNO-BN.
Ahmad Zahid sebelum ini berkali-kali menegaskan calon perdana menteri BN kekal buat Ismail Sabri yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung 2021 dan mesyuarat MT.
Malah hari ini, Ismail Sabri yang juga calon PRU15 bagi Parlimen Bera turut menegaskan keputusan dibuat yang meletakkannya sebagai calon perdana menteri kekal dan tiada perubahan.
Sementara itu, mengulas soal kuota 30 peratus calon wanita yang dijadikan pertikaian, Ismail Mohamed berkata semangat wanita di kawasannya tidak luntur malah terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan calon mereka.
Selain itu, beliau menyeru jentera BN agar tidak menoleh ke belakang dan terus mara ke hadapan bagi memastikan kemenangan buat gabungan itu.
“Tentang calon A, calon B…saya tak perlulah cakap sama ada calon presiden atau calon perdana menteri. Apabila diputuskan oleh parti itulah calon daripada BN. Kita tak boleh toleh ke belakang tapi maju ke depan. Kita fikir ke hadapan bagaimana nak menang dan boleh tubuh kerajaan Pusat.
“Dulu di kampung ini sepatutnya Datuk Seri Mohamad Jaafar (penyandang sejak 1995) bertanding (DUN Jenderak) tapi beliau tidak bertanding dan Datuk Rodzuan (Zaaba) yang bertanding namun waris-waris kepada Datuk Seri Mad ini bersemangat dan terus bekerja.
“Memang UMNO-BN bersemangat untuk menang dalam kawasan Parlimen Kuala Krau ini,” katanya
.