7 NOV : Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) Perak akan dilancarkan di Meru Raya, Ipoh esok.
Menurut Setiausaha BN Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, manifesto itu dirangka selepas mengambil kira semua faktor, khususnya berhubung dengan masa depan rakyat dan menyifatkan manifesto itu komprehensif, bukan sahaja memberi ruang lingkup keseluruhan, tetapi juga akan mengikut sektor dan daerah.
“Ia sejajar dengan usaha kita untuk mendapatkan kestabilan politik, ekonomi dan akhirnya kestabilan sosial bagi memberi kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui berkempen di Batu 8, Hulu Kinta, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, manifesto itu bukan dibuat oleh orang politik tetapi mengambil kira pandangan masyarakat dan sektor bagi mengetahui apa yang mereka mahu.
“Sebagai parti politik yang mempunyai wawasan untuk mensejahterakan rakyat, kita mengambil kira pandangan-pandangan ini dan mengolah sebaik mungkin.
“Kita pun tak nak menjanjikan bulan bintang dan janji-janji itu adalah boleh dilaksanakan dan dicapai,” ujarnya.
Katanya, kira-kira 5,000 orang dari pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka menghadiri majlis pelancaran manifesto itu yang bermula jam 8 malam.
Sementara itu, beliau yang juga calon Parlimen Tambun berkata, setakat ini, kempennya berjalan lancar dengan dibantu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan DUN Manjoi, Datuk Azizol Kama Abdul Aziz.
“Setakat ini kami telah meliputi kira-kira 20 peratus tetapi sebagai orang tempatan, kami telah berkhidmat lama, lebih-lebih kedua-dua calon DUN ialah Ahli Majlis (Majlis Bandaraya Ipoh),” tambahnya.