16 NOV : Agenda pembangunan yang tertangguh lebih 10 tahun di Sepang akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) menang di kawasan itu.
Calonnya, Anuar Basiran berkata, ia akan menjadi fokus utama sekiranya mandat diberi kepada beliau sebagai wakil rakyat, selepas 19 November ini.
Katanya, selepas hilang kerusi Parlimen pada PRU13 dan PRU14 kawasan Sepang tiada pembangunan dan ketinggalan jauh di belakang.
Menurutnya,pada Sabtu ini rakyat Sepang perlu turun. mengundi dan memilih BN supaya agenda yang tertangguh itu dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sejak hari penamaan calon 5 November lalu beliau sudah menghadiri lebih 150 program untuk bertemu rakyat dan pengundi di Sepang bagi memberi pencerahan kepada rakyat berkenaan khidmat dan pembangunan yang telah dilaksanakan BN.
“Saya juga sudah menghadiri sekurang- kurangnya 15 program atau lebih setiap hari yang disusun rapi oleh jentera pilihan raya Sepang bermula 7 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya.
Anuar berkata,program ini menjadi rutin bagi dirinya sepanjang berkempen dan akan terus komited sehingga sehari sebelum mengundi.
“Setakat ini saya sudah menjelajah 90 peratus kawasan di Sepang dan menerima sambutan menggalakkan dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Orang Asli,”katanya.