17 NOV : Aliran trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan berikutan pertambahan bilangan kenderaan yang bergerak menuju ke destinasi pengundian sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kesesakan ketara petang tadi dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala utara iaitu dari Sungai Buloh ke Rawang iaitu sepanjang 10 kilometer (km), Tanjung Malim ke Behrang, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Juru Auto City ke Perai.
Laluan menghala ke Pantai Timur pula dilaporkan sesak bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sejauh 19km, Bukit Tinggi ke Lentang dan keadaan trafik sama turut dilaporkan berlaku selepas Bentong Timur ke Karak.
Laluan menghala ke selatan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale pula trafik dilaporkan perlahan kerana berlakunya kemalangan di KM 269.0,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Jalan Duta dan Sungai Besi menghala keluar dari ibu negara mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat menyebabkan trafik bergerak perlahan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15.