23 NOV : Tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tiba di Istana Negara secara berasingan sekitar jam 10.40 pagi tadi.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda hari ini, selepas Al-Sultan Abdullah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.
Namun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara menangguhkan pertemuan baginda bersama 30 ahli Parlimen berkenaan.