25 NOV : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke 10.
Kenyataan beliau dimuat naik menerusi status dalam Facebook rasmi beliau, di mana Muhyiddin menegaskan PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, PN akan terus membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.
“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Anwar, 75, dipilih sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov.
Anwar memulakan tugas secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat dan selepas selesai urusan di pejabat, beliau turut mengadakan sidang media dan menyentuh beberapa perkara berhubung pentadbiran negara.