4 OGOS: Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih tidak berpuas hati selepas kerajaan menangguhkan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada awal tahun hadapan berikutan pandemik COVID-19.
Ini kerana beliau masih menuntut kerajaan memberi sebab-sebab penangguhan itu dan ingin tahu adakah masalah fiskal menjadi punca tindakan tersebut.
Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata seharusnya perkara tersebut tidak menjadi isu buat Ketua Pembangkang itu kerana ia telah pun diterangkan dan dijawab oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, pihaknya akan memastikan Anwar akan diberi masa dan ruang untuk berbahas jika kita telah bentangkan perkara tersebut di Dewan Rakyat.
“Isu tidak timbul, kita membincangkan tentang RMK12, mungkin (Yang Berhormat) Port Dickson keliru sikit ye asasnya betul makna pokoknya akan diadakan perbahasan. RMK12 akan dibentang pada awal tahun depan da nada ruang buat Port Dickson untuk membahaskan.
“Bukan perkara luar biasa lagipun belum 2021, RMK12 bermula tahun 2021 kalau bentang pada Ogos belum sampai masanya lagi, masalah perbahasan tak akan timbul,” katanya yang menjawab soalan tambahan Anwar.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyatakan tentang libat urus pelbagai pihak kementerian dan pakar dalam merangka RMK12 telah tamat, Mustapha menafikan perkara tersebut.
“..Masih berjalan. Kita sudah libat urus kebanyakan kerajaan dan negeri dan beberapa Ahli Parlimen dan melakukan libat urus juga badan pemikir akan adakan libat urus ini dan perkara perlu dilihat semula. Terima kasih kepada tokoh-tokoh yang kita jumpai
“Dan terima kasih kepada Yang Berhormat yang terlibat dalam libat urus ini, yang penting kita mendengar dan mengambil kira khususnya pendapatan garis kemiskinan serta banyak pandangan bernas yang boleh kita rangka dasar buat RMK12,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH