29 DIS : Amerika Syarikat (AS) akan menguatkuasakan ujian COVID-19 mandatori terhadap pengembara dari China, maklum seorang pegawai kesihatan semalam.
Tindakan AS itu menyusuli langkah dibuat India, Itali dan Taiwan selepas Beijing memansuhkan dasar ketat sifar COVID-19.
Wartawan dimaklumkan bermula 5 Januari depan, semua penumpang kapal terbang berumur dua tahun dan lebih dikehendaki mempunyai keputusan negatif daripada satu ujian yang dilakukan tidak lebih dua hari selepas berlepas dari China, Hong Kong atau Macau.
Menurut pegawai persekutuan, penumpang yang diuji positf lebih 10 hari sebelum penerbangan dikehendaki mengemukakan dokumen pemulihan sebagai ganti keputusan ujian negatif.
Bulan ini, China mengambil keputusan yang dianggap drastik apabila memansuhkan sekatan COVID-19 paling ketat di dunia termasuk pelaksanaan ujian meluas.
Langkah itu, untuk meletakkan kembali ekonomi republik itu yang terjejas di landasan pembukaan sepenuhnya sektor berkenaan pada tahun depan.
Beberapa pakar kesihatan antarabangsa memberi amaran, dengan penarikan sekatan di negara berkenaan, sehingga wujud bantahan kerana bimbang kemungkinan berlaku penularan besar-besaran COVID-19.
Beijing sebelum ini menerima kritikan antarabangsa bahawa data rasmi COVID-19 termasuk angka kematian tidak konsisten dengan skala perebakan virus di negara berkenaan.
Terdapat pakar kesihatan global berpandangan virus itu boleh menjangkiti sehingga satu juta orang sehari.
Ada pertubuhan antarabangsa lain pula menjangkakan kematian akibat COVID-19 di China boleh mencapai dua juta orang atau lebih.
Awal minggu ini, pegawai AS mendakwa kekurangan data telus dari China, mengundang aduan berterusan dari Washington mengenai cara pengendalian wabak itu oleh China sebagai alasan untuk mengadakan sekatan perjalanan sendiri.
Pendekatan AS dan China untuk memerangi COVID-19 sangat berbeza sepanjang pandemik.