2 JAN: Dua beradik ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak pada Isnin.
Hanya Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7 dipercayai berada dalam rumah ketika kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi.
“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.
“Kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada jam 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 4.13 pagi,” ujarnya.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6×24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.
“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” jelas beliau.