22 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini buat pertama kalinya menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di Ampang, hari ini.
Kali terakhir beliau menghadiri majlis berkenaan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
Kehadiran Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, beliau gembira dapat bertemu rakan lama pada majlis berkenaan dan menyifatkan persababatan beliau dengan MCA, parti komponen BN tidak pernah putus walaupun ketika beliau dalam pembangkang.
“Dulu kita berbeda pandangan dan haluan. Saya dipecat daripada UMNO dan saya terpaksa lawan. Masa dalam penjara, tak sempat datang dan sekarang, ada ruang dan nampak bukan saja kemesraan tapi nampak satu haluan dalam banyak pandangan serta isu,” katanya.
Katanya, beliau banyak berbincang dengan Presiden MCA itu dan nampak kita tumpu pada pembangunan serta ekonomi Malaysia.