25 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara itu.
Anwar ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Bagawan pada jam11.05 pagi.
Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut.
Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).
BIA diwakili Pemangku Pengarah Urusannya, Sofian Mohammad Jani manakala MIDA oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman.
Brunei merupakan negara kedua dilawati Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
Perdana Menteri berlepas pulang petang ini.