7 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta semua negara yang terjejas akibat gempa bumi maut yang melanda wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye pada Isnin.
Anwar berkata pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berlepas ke Turkiye malam tadi untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam misi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.
“Saya amat sedih dengan kehilangan besar nyawa, kecederaan dan kemusnahan besar-besaran berikutan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye. Gempa bumi besar itu juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan jumlah korban besar di negara-negara jiran.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga serta semua negara yang terjejas akibat bencana itu. Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberi kesembuhan kepada mangsa dan ketenangan yang cepat kepada yang berduka,” menurut catatannya di Facebook.
Gempa bumi kuat berukuran 7.4 pada skala Richter dilapor melanda wilayah selatan Turkiye di Kahramanmaras jam 4.17 pagi Isnin dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan ia berpusat di daerah Pazarcik.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.
Kementerian Luar, setakat ini memaklumkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Kerajaan Turkiye dan Syria serta rakyatnya berikutan tragedi gempa bumi kuat melanda negara berkenaan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, juga menzahirkan ucapan takziah.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.
“Seri Paduka berdua berdukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi tersebut serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook.