12 FEB: Nurul Izzah Anwar tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan anak sulung kepada Perdana Menteri itu dibuat selepas Nurul yang juga Naib Presiden PKR itu diundang menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
Sekretariat itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan berkata, beliau dengan rendah diri menerima tanggungjawab tersebut.
“Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menzahirkan penghargaan atas setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.