24 MAC: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap dengan kedatangan Ramadan, pihak yang pernah bermusuhan supaya berubah dengan melupakan persengketaan dan saling bermaaf-maafan.
Beliau juga mahu parti komponen menterjemahkan komitmen masing-masing dalam usaha untuk menonjolkan jalinan erat sesama sendiri dalam Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden UMNO mahu majlis berbuka puasa seperti diadakan di Gombak malam ini yang mengumpulkan pemimpin parti komponen, khususnya daripada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dapat memanfaatkan sebaik mungkin platform untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan, majlis seperti itu penting kerana ia dapat mewujudkan keserasian, sekali gus membantu merungkai kecurigaan sesama parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan
“Kita juga harus menterjemah komitmen di dalam usaha untuk menjalin eratkan kerajaan yang wujud pada hari ini iaitu Kerajaan Perpaduan. Kita mengalu-alukan pertama kalinya rakan-rakan daripada parti dalam PH yang sama dengan kita malam ini.
“Jalinan erat antara kita semua diharapkan mewujudkan satu keserasian dan dapat merungkaikan kecurigaan dalam kalangan kita.
Jalinan dan keserasian ini penting sebab selama lebih 15 tahun kita berbeza pandangan, kita melayani perbezaan ini dan kita melupakan soal akhlak, tasawuf (aliran kepercayaan Islam) dalam menangani perbezaan serta pendapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW di Masjid Batu 8 di Gombak, malam ini.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 45 anak yatim dan menyerahkan wang saku kepada 15 pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan peralatan kepada 10 peserta ‘Quick Win’ KEMAS dalam bidang masakan dan 10 peserta lagi dalam bidang jahitan, termasuk menyampaikan replika cek untuk Program Tuisyen Rakyat dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar setempat.
Ahmad Zahid turut mengingatkan masyarakat tidak terpengaruh dengan permainan politik yang mempergunakan ajaran Islam.
Lebih ‘bahaya’, tegasnya apabila terdapat kumpulan yang menggunakan Islam mengikut ‘selera’ masing-masing.
“Apatah lagi jika mereka berasakan mereka lebih Islam daripada orang lain,” ujarnya.
Selain berbuka puasa, Ahmad Zahid turut menunaikan solat Maghrib, Isya diikuti solat Tarawih bersama pemimpin dan penduduk se tempat.