31 MAC: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan yang mengekalkan sabitan serta hukuman kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.
Dengan keputusan tersebut, bermakna bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.
Dalam keputusan majoriti 4-1 pagi ini, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.
Keputusan berkenaan dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais
Manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Sehubungan itu, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.