17 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar kerajaan berhubung isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata komitmen itu dinyatakan ketika pertemuan antara beliau dan Perdana Menteri, yang turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum mesyuarat Kabinet, pagi tadi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pertemuan itu bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.
“Pada masa sama, kerajaan akan memperkemas isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan kepada Majlis Raja-Raja.
“Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana peruntukan perlembagaan akan terus terpelihara, selain mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.
Pada 2014, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhbar mingguan Katolik, The Herald bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar Kementerian Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya edisi bahasa Melayu.
Perdana Menteri, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini, memaklumkan Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata, langkah itu pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.