20 MEI: Amerika Syarikat sebagai salah satu negara maju wajar menjadi peneraju dalam mengekang perubahan iklim dan kesan-kesannya ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.
Ini termasuk dengan menyediakan bantuan kewangan, kapasiti dan sokongan teknologi yang mencukupi untuk membantu negara membangun melaksanakan agenda dan tindakan iklim masing-masing.
Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perbualan telefon dengan John Kerry, Perutusan Khas Presiden Amerika Syarikat mengenai iklim.
Menurut Anwar beliau menerima panggilan telefon daripada John Kerry semalam dan dalam perbualannya, beliau turut menyampaikan harapan Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam peralihan tenaga boleh baharu, pengurangan pelepasan gas metana, pembiayaan iklim dan teknologi.
“Kami bicara pelbagai isu berkaitan alam sekitar, tenaga boleh baharu dan perubahan iklim yang kian meruncing dan memberi kesan yang dahsyat di seluruh dunia,”
“Saya berkongsi aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan GHG (Protokol Gas Rumah Hijau) bersih sifar seawal tahun 2050,” kata Anwar di Facebooknya hari ini.