23 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes mahkamah berkait kalimah Allah adalah bagi mengelak percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata tindakan itu perlu bagi memastikan tidak timbul pertikaian sama pada masa akan datang berhubung penggunaan kalimah itu.
“Seperti kita tahu keputusan yang dibuat (Kabinet) 1986 tidak pernah dipinda oleh kerajaan Barisan Nasional, Perikatan Nasional sehinggalah sekarang, kerajaan perpaduan nak pinda supaya diperjelaskan.
“Jadi kita tamatkan (percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-Raja) dengan pinda semua peraturan supaya jelas tidak ada kes yang boleh dibawa ke mahkamah. Bagi saya ini jelas, apa yang lemahnya?
“Sekiranya kita kekalkan keadaan yang keliru sekarang, itu kelemahan kita. Tapi kita tarik (rayuan) untuk perbetulkan kelemahan kita, maknanya tidak ada mahkamah yang boleh membuat keputusan bercanggah dengan keputusan dibuat sekarang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, peguam negara telah meneliti kes itu dan menyifatkan ia bertentangan dengan keputusan awal dibuat Majlis Raja-Raja malah kes itu juga lemah kerana peraturan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu (PN-PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menuntut penjelasan beliau berkait rasionalnya keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021.
“Persoalannya kenapa kerajaan membuat keputusan menarik balik kes rayuan di Mahkamah Rayuan ini? Sedangkan apa salahnya, apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan sedemikian, kerajaan telah merayu…Mahkamah Tinggi (ada) seorang hakim dan Mahkamah Rayuan (ada) tiga orang hakim.
“Saya nak tanya, apa rasionalnya untuk menarik balik rayuan itu? Kita perlu beri penghormatan kepada mahkamah lebih tinggi buat keputusan, kalau itu (kekal) keputusannya kita terimalah,” katanya.
Sebelumnya, Ahli Parlimen Bagan Serai (PN-PAS) Datuk Idris Ahmad membangkitkan sama ada kerajaan sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan majlis-majlis agama negeri terlebih dahulu sebelum memutuskan menarikan balik rayuan kes tersebut.
Anwar berkata beliau sudah merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar perkara itu dibawa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Memang dirujuk kepada tuanku dan baginda memberi pandangan supaya keputusan semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberi di Sabah dan Sarawak.
Jadi tidak timbul sama sekali soal tidak dirujuk.
“YDPA memperkenan supaya…jemaah menteri dan kita akan rujuk kepada JAKIM yang dipengerusikan Sultan Selangor akan memberikan beberapa pandangan untuk memperkemaskan keputusan ini supaya keputusan muktamad.
Insya-Allah akan dibentang dalam mesyuarat Raja-raja Melayu pada Julai nanti,” jelasnya.
Oleh NUR EISYA