Anwar zahir komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan ATM
29 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa terjaga termasuk pendidikan di kalangan anak-anak anggota ATM.
Menerusi Facebook rasmi beliau selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di pejabatnya hari ini, kerajaan katanya menyalurkan peruntukan bagi kos membaik pulih kediaman dan kuarters khususnya yang daif.
“Hatta, saya ingatkan untuk sentiasa menjaga kebajikan anggota terutama memastikan akses terhadap pendidikan yang berkualiti dalam kalangan anak-anak anggota ATM,” katanya.
Anwar berkata pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) baru-baru ini, beliau turut menyentuh mengenai kebimbangan terhadap kesiapsiagaan aset pertahanan negara yang disifatkan agak ketinggalan ketimbang perkembangan aset pertahanan negara jiran lain .
Justeru, beliau berharap agar ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap yang terbaik.