1 JUN: Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Dalam laporannya, Rayer berkata Sanusi membuat kenyataan melampau apabila mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang, yang ditubuhkan dan diiktiraf sebagai negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mendakwa, Sanusi bukan sahaja mempersoalkan kesahihan perlembagaan tetapi juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Menurut Rayer, beliau membuat laporan polis ini bukan sahaja kerana hendak mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang, tetapi lebih daripada itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong,
Rayer ditemani Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan beberapa pemimpin DAP lain ditemui media selepas membuat laporan di
Balai Polis Timur Laut di Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi.
Dalam laporan tersebut, Rayer mendakwa kenyataan Sanusi bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga melampau dan boleh ditafsirkan sebagai satu hasutan untuk menyebabkan huru-hara dan rusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang.
“Sebagai seorang menteri besar, beliau harus bersikap bertanggungjawab dan mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar perundangan dan bukanlah menghentam secara semberono dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang, juga mengganggu gugat ketenteraman awam serta membangkitkan perasaan marah di kalangan rakyat Puau Pinang,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.