10 JUN : Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mempercayai naratif sentimen perkauman yang sering dimainkan oleh sesetengah pihak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana beliau kini sedang menyusun kerangka ekonomi dalam keadaan situasi negara yang mempunyai pelbagai masalah, sekali gus ia menjadi keutamaan berbanding perkara lain.
“Saudara juga tahu tahu negara ini sekarang menghadapi pertarungan besar iaitu (ada) membangkitkan sentimen seolah-seolah orang-orang Melayu hilang kuasa, jadi miskin dan Anwar sebagai Perdana Menteri hanya nak jaga Cina dan India sahaja. Ini naratif yang dibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu program Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar turut menyeru pimpinan masyarakat India di negara ini supaya bersepakat dengan satu hala tuju tanpa mengira pandangan politik.
Beliau berkata, walaupun dalam kalangan pemimpin biasanya berbeza pandangan politik dan dasar serta kadang-kadang ada yang mempunyai pandangan yang keras namun melalui kesepakatan akan memudahkan beberapa rangka yang dipilih kerajaan.
“Hanya dengan satu tekad yang disebut tadi, kemahuan politik beberapa rangka yang kita pilih bersama itu baharu mudah kita laksanakan,” katanya.