13 JUN: Sebanyak 190 lokasi dikenal pasti pihak polis, dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi.
“Ia diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang,” katanya selepas program lawatan hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 2023 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Cheras hari ini,
Acryl Sani berkata lokasi berkenaan dikategorikan sebagai kawasan panas kerana dilihat berpotensi untuk tercetusnya provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Menurutnya, bagi pengundian awal di enam negeri tersebut, ia akan membabitkan 93,833 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).