19 JUN: Susulan terdapat beberapa peniaga yang menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang akibat kos pinjaman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ahli Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) menyatakan kesediaan untuk memberi bantuan.
ABM berkata, mereka menyedari bahawa ansuran bayaran balik bulanan untuk pinjaman dengan kadar faedah terapung akan meningkat berikutan peningkatan berganda dalam OPR baru-baru ini.
“Ini akan mengakibatkan sesetengah peminjam terutamanya perniagaan kecil, akan lebih sukar untuk memenuhi obligasi pembayaran balik mereka.
“Untuk memberikan sokongan kepada pelanggan yang memerlukan, bank mempunyai langkah bantuan yang berterusan, seperti penjadualan semula dan penstrukturan semula (R&R), bagi membantu peminjam perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini bagi membolehkan mereka membincangkan pilihan pembayaran balik kewangan yang sesuai dengan keadaan kewangan masing-masing.
Tambahannya, pelanggan diingatkan supaya berhati-hati dengan penipu dan hanya memohon sebarang bantuan kewangan melalui saluran bank rasmi.
“Pelanggan bank juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen atau wakil bank berkenaan dalam hal berkaitan bantuan pembayaran balik.
“Bank tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga dan ejen untuk tujuan ini,” katanya.