21 JUN: Sebanyak 30 peratus koperasi wanita dikenal pasti tidak aktif dan tiada sebarang aktiviti dijalankan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini sedang mengenal pasti koperasi-koperasi berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sama ada menutup operasi tersebut atau sebaliknya.
“Sejak 31 Disember 2022, sebanyak 256 koperasi wanita telah diwujudkan dengan keanggotaan 29,455 orang, jumlah aset koperasi RM76 juta manakala jumlah modal syer yuran koperasi RM19 juta serta perolehan koperasi RM13.5 juta.
“Bagi tahun lalu, 16 koperasi wanita baharu didaftarkan, sejak Januari sehingga Mei ini, tujuh koperasi wanita telah didaftarkan.
“Bagaimanapun kita menganggarkan sebanyak 30 peratus berada di bawah kategori tidak aktif. Kita sedang kenal pasti koperasi yang tidak aktif memastikan sama ada terdapat ahli lembaga yang masih wujud dan apa sebab tidak menjalankan sebarang aktiviti koperasi.
“Setelah kenal pasti, SKM ambil tindakan untuk tutup secara langsung dan tidak boleh beroperasi. Kalau ada koperasi boleh dipulihkan, SKM akan aktifkan semula atau membantu kenal pasti aktiviti yang sesuai untuk koperasi yang berpotensi berdasarkan keperluan semasa,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Senator Amir Md Ghazali berhubung jumlah koperasi wanita yang tidak aktif setakat ini.
Sebelum itu, Senator Datuk Koh Nai Kwong turut meminta kementerian menyatakan apakah perancangan kementerian untuk memperbanyak koperasi khusus untuk wanita yang ketika ini hanyalah 1.7 peratus daripada jumlah pendaftaran koperasi keseluruhan.