21 JUN: Cubaan bunuh diri bukan lagi satu kesalahan jenayah.
Ia selepas Parlimen meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan di Dewan Negara hari ini.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 yang antara lain, menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di negara ini diluluskan semalam.
Katanya, pada masa sama RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang antara lain, memberikan kuasa kepada pegawai intervensi krisis (pegawai agensi-agensi di bawah sistem Malaysian Emergency Response Services – MERS 999) untuk menangkap (menyelamatkan) seseorang yang cuba bunuh diri pula diluluskan hari ini.
“Dengan kelululusan ketiga-tiga RUU ini, proses pindaan undang-undang bagi menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di peringkat Parlimen sudah selesai.
“Seterusnya, ketiga-tiga RUU ini perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya diwartakan dalam Warta Kerajaan sebelum berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal berkata, sehingga selesainya proses di perenggan 4, suatu moratorium masih lagi berkuat kuasa ke atas pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan bunuh diri.
Oleh itu, katanya, tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah seksyen tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk ahli-ahli Parlimen yang memberikan sokongan sepenuhnya dalam usaha ini akan mengubah pendekatan terhadap cubaan bunuh diri daripada bersifat punitif pada masa ini kepada suatu pendekatan berasaskan kepada rawatan perubatan,” katanya.