22 JUN: Empat daripada sepuluh warga Thailand yang diekstradisi ke negara ini berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian, akan didakwa ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan hasil siasatan yang dibuat kerajaan Malaysia dan Thailand untuk mengesan dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam kes itu.
“Sepanjang tempoh lebih enam tahun ini, Kerajaan Malaysia dan Thailand berusaha mengesan semua individu itu bagi melaksanakan proses ekstradisi.
“Hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berkenaan berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.
“Kes ekstradisi ini berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu sebelum akhirnya perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu dikeluarkan untuk diserahkan kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand, penyerahan keempat-empat individu terbabit dilaksanakan, hari ini.
“Kesemua individu terbabit sudah berada di Malaysia dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok bagi tujuan pertuduhan,” katanya.
Saifuddin berkata, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan semua pihak yang terbabit dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian berjalan lancar.
“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
“KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
“Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.