23 JUN: Seramai 6,000 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung selain akan mendapatkan bantuan daripada kontinjen lain sekiranya diperlukan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menggerakkan anggotanya bagi mengawal keselamatan menjelang PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Pastikan Polis Pulau Pinang telah bersiap sedia daripada segala aspek bagi menghadapi PRN iaitu bermula daripada sebelum penamaan calon sehingga pasca PRN nanti.
“Secara umumnya, untuk kontinjen Pulau Pinang kita bersedia seramai 6,000 pegawai dan anggota yang akan ditugaskan pada PRN nanti.
“Bagaimanapun kita akan lihat sekiranya terdapat keperluan untuk menambah anggota, kita akan memohon bantuan daripada kontinjen-kontinjen lain untuk membantu,” katanya.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, sebanyak 22 pasukan ‘Light Strike Force’ (LSF) juga telah selesai menjalani latihan untuk memperkasakan lagi kemahiran dan kecekapan dalam mengawal situasi tidak diingini terutamanya yang mengancam ketenteraman awam pada PRN nanti.
Selain itu, katanya khidmat Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Pasukan Tindak balas Krisis (CRT) juga akan digunakan bagi memastikan kelancaran perjalanan PRN di negeri ini.
Dalam pada itu, Kok Chin meminta semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang tempoh PRN supaya semuanya dapat berlangsung dengan tenang, aman dan harmoni.