24 JUN: Semua sekolah di seluruh negara wajar menyertai usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah, dimana pendidikannya perlu dimulakan dari pendidikan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan usaha ini, ia boleh melahirkan masyarakat yang bencikan amalan rasuah melalui sistem pendidikan.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 28 buah sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak yang telah mengambil bahagian dalam Bicara Cilik Rasuah Busters.
” Usaha ini harus menjadi contoh kepada semua sekolah lain agar turut sama mengambil bahagian dalam meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah mulai pendidikan awal kanak-kanak lagi.
“Bertepatan dengan slogan ‘anak baik lagi cerdik’, penerapan nilai dan sahsiah perlu diutamakan agar mereka menjadi insan yg bermoral, berdisiplin dan berilmu.
” Hal ini selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan bagi memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dalam mewujudkan insan yang seimbang serta harmoni dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menyifatkan, budaya rasuah sebagai bencana besar yang boleh memiskinkan dan memporak-perandakan negara, jika ia tidak dihapuskan dari sekarang.
“Jadi usaha ini adalah satu usaha yang baik bagaimana kita mulakan satu program, di mana kita menanam nilai moral dan karakter bangsa supaya kita boleh menolak budaya ini (rasuah).
“Semua agama mengharamkan rasuah. Jadi, adalah tanggungjawa kita (sebagai) guru-guru, ibu bapa, pelajar, dan sesiapa sahaja untuk menolak rasuah.
“Saya kira (Bicara Cilik Rasuah Busters) sebuah permulaan yang baik, di mana untuk kita menolak rasuah itu dari awal kehidupan supaya, dan bila kita dewasa, kita tak boleh terima budaya rasuah,” ujarnya.
Hussamuddin menambah, beliau yakin jika budaya rasuah dapat diperangi, rakyat dan negara akan menikmati lebih banyak manfaat termasuk penyediaan peluang pekerjaan.