24 JUN: Universiti di Thailand sedang bergelut masalah pendaftaran pelajar rendah.
masalah itu didorong penurunan mendadak jumlah kelahiran sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Analisis Perniagaan dan Program Perisikan di Sekolah Siswazah Statistik Gunaan, Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional (NIDA), Arnond Sakworawich, berkata kebanyakan universiti Thailand tidak dapat memenuhi sasaran pendaftaran pelajar baharu mereka.
Jelas beliau, bilangan kekosongan lebih banyak berbanding jumlah pelajar yang mendaftar, sekali gus memaksa banyak universiti awam dan swasta membuka tiga hingga lima pusingan sesi kemasukan, namun masih gagal mengisi semua kekosongan yang ada.
Pasaran pendidikan tinggi semasa Thailand agak kecil, dengan 200 hingga 300 universiti mengambil pelajar kurang daripada kapasiti tahunan mereka.
Di samping itu, terdapat penurunan berterusan dalam bilangan kelahiran dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
30 tahun lalu, Thailand merekodkan lebih sejuta kelahiran, namun pada masa ini, jumlahnya berkurangan separuh kepada 500,000 hingga 600,000 kelahiran setahun.
Pada 2005, Thailand mula menuju ke arah masyarakat tua dan berada dalam kategori itu sepenuhnya pada 2022 apabila statistik pendaftaran menunjukkan penduduk warga tua mencapai 12,116,119 iaitu 18.3 peratus daripada kira-kira 70 juta penduduknya.
Menjelang 2027, Thailand dijangka menjadi masyarakat yang semakin tua, sama seperti Jepun, dengan penduduk warga emas menyumbang 28 peratus daripada jumlah penduduk.
Kadar kelahiran sangat rendah, dengan peningkatan hanya 0.1 peratus daripada kelahiran baru dalam kalangan penduduk.
Tambah Arnond, memandangkan bilangan pelajar yang memasuki universiti terus berkurangan manakala penduduk warga emas bertambah, ia sudah pasti memberi kesan kepada keseluruhan sistem pendidikan.
Universiti awam dan swasta mungkin bergelut untuk bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang jika mereka tidak menyesuaikan diri, malah mungkin membawa kepada penggabungan atau penutupan institusi.
Menurut Arnond, universiti di Thailand berjaya untuk bertahan selama ini menerusi pengambilan pelajar China secara aktif.
Di sesetengah institusi, pelajar China membentuk separuh daripada jumlah pelajar, yang mana secara keseluruhan kira-kira 3 juta pelajar China mendaftar di universiti negara itu.
Pelajar China banyak menyumbang kepada pendapatan universiti, membayar yuran pengajian antara 40,000 (RM5,300) hingga 50,000 baht (RM6,633) setiap semester di universiti swasta dan negeri, seperti Universiti Thammasat, Universiti Chulalongkorn, dan NIDA.
Jelasnya, penurunan bilangan pelajar mengakibatkan kemerosotan mendadak bagi pendapatan universiti, memaksa sesetengah universiti mula memberhentikan guru atau menyesuaikan keadaan kerja mereka secara lebih anjal.