25 JUN: Penganjuran ‘Karnival Kita MADANI’ perlu diteruskan ke peringkat akar umbi bagi menjelaskan gagasan Malaysia MADANI kepada rakyat.
Saranan itu dibuat Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan menjelaskan, tindakan itu perlu agar gagasan Malaysia MADANI berkenaan dapat difahami secara mendalam oleh setiap lapisan rakyat.
“Karnival seumpama ini perlu diadakan terutama di peringkat akar umbi agar konsep Malaysia MADANI difahami rakyat, untuk membolehkan segala polisi dan dasar baharu kerajaan yang dibawa oleh Perdana Menteri dihayati oleh rakyat.
Nilai yang diterap dalam Malaysia MADANI benar-benar meletakkan rakyat sebagai keutamaan… Kerajaan Perpaduan memahami rakyat, (memahami) tekanan (dihadapi) rakyat,” katanya.
Turut hadir pada karnival itu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga merupakan ADUN Seberang Takir
Terdahulu Shamsul Anuar yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam ucapannya mengajak rakyat Terengganu supaya menyokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik bagi membolehkan sosioekonomi negara terus bertambah baik demi kebaikan rakyat keseluruhannya.
Katanya untuk membolehkan negeri-negeri khususnya Terengganu dapat dibangunkan dengan sempurna, rakyat juga perlu memilih kerajaan yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Bila sealiran, lebih senang. Peruntukan dan pembangunan dapat disalurkan secara terus.Jangan perjudikan masa depan negeri. Jangan sekali lagi buat silap, pilih yang terbaik,” katanya.