28 JUN : Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.
Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata keputusan itu akan diiktiraf sebagai undang-undang yang sah.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan boleh dikenakan tindakan menghina keputusan mahkamah paling tinggi di Malaysia dan tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya dilapor Bernama.
Bagaimanapun, beliau berpendapat pindaan itu boleh dibawa ke Parlimen untuk diperhalusi dan dibentang serta dibahas secara terbuka.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu.
Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA), yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.