3 JUL : Bursa Malaysia secara keseluruhannya ditutup tinggi pada Isnin, didorong pembelian semasa harga murah dalam saham perbankan susulan penjualan pada Jumaat lalu.
Ini sejajar dengan prestasi memberangsangkan di pasaran serantau.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 19.21 mata atau 1.40 peratus kepada 1,395.89 daripada 1,376.68 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.
Indeks utama itu dibuka 2.71 mata lebih baik kepada 1,379.39 sebelum bergerak di antara 1,379.31 dengan 1,397.37 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran juga positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 343 manakala 420 kaunter tidak berubah, 982 kaunter tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.50 bilion berbanding 2.65 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, di peringkat rantau, indeks utama ditutup lebih tinggi memandangkan penurunan inflasi Amerika Syarikat (AS) mencetuskan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan melonggarkan pendiriannya yang cenderung kepada kadar faedah tinggi bagi dasar monetari.
“Selain itu, data menunjukkan peralihan positif sentimen terhadap ekonomi Jepun telah melonjakkan indeks Nikkei ke paras tertinggi dalam tempoh 33 tahun.
“Di Hong Kong, saham meningkat dengan ketara susulan harapan terhadap langkah rangsangan China untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan,” katanya dilapor Bernama.