4 JUL : Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan sehingga 19 Julai 2023.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perintah berkurung itu termasuklah perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran
Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar di antara 6 petang hingga 6 pagi.
Perintah ini diteruskan bagi memastikan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.
“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan,” katanya hari ini.
Jauteh berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan penduduk Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.
Katanya, ini juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.