5 JUL: Bagi meningkatkan taraf hidup golongan B40 dan miskin tegar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam usaha merangka Dasar Ekonomi Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, Dasar Ekonomi Rahmah adalah selaras dengan komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan menoktahkan miskin tegar tahun ini.
Katanya, dasar berkenaan dijangka siap pada September ini dan akan dibawa untuk dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kabinet.
“Keduanya, bagaimana kita melihat subsidi yang sebahagian besarnya diperuntukkan kerajaan mesti tepat sampai kepada golongan sasar.
“Ketiganya, KPDN akan fokus kepada membangunkan ekonomi rakyat, mungkin menerusi program sedia ada seperti perniagaan dalam talian dan francais di peringkat kementerian dan Inisiatif Daya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk ‘Menangani Kos Sara Hidup, Meningkatkan Kemakmuran Rakyat’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau berkata, Dasar Ekonomi Rahmah itu juga dirangka supaya dapat membantu mencapai matlamat Dasar Ekonomi Negara, sekali gus dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar.
Sebelum ini, Anwar pernah menegaskan bahawa jumlah kemiskinan tegar dalam negara perlu dinoktahkan pada tahun ini.